Popular Label

Berita (12) DrZul (17) Gambar (3) Kitab (3) Review (5) Tazkirah (36) Video (44)
Blog yang membicarakan aktiviti-aktiviti di Madrasah as-Saidiyyah, Surau Kampung Pondok Rasah, Seremban. Juga boleh mengetahui berkenaan Tariqat Ahmadiah di bawah pimpinan Dato' Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Hj Ahmad serta Pusat Pengamalan Tariqat Ahmadiah di http://alahmadiyyah-rasah.blogspot.com/

Saturday, November 24, 2012

Elemen Tasawuf atau Kesufian Dalam Hijrah Rasulullah S.A.W.

Ceramah Perdana oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyentuh elemen-elemen kesufian yang terdapat di dalam kisah penghijrahan Rasulullah S.A.W. seperti berserah sepenuhnya kepada Allah S.W.T. beserta tawakkal dan sebagainya. Kupasan yang disertakan dengan misalan-misalan yang tepat serta kisah-kisah seumpamanya di dalam kehidupan ulama-ulama terdahulu amat menyentuh hati serta menambah keazaman sempena tahun baru hijrah ini. 

Sangat padat serta bermanfaat buat semua.




Wednesday, November 21, 2012

Tausiah Maal Hijrah 1434H - Sheikh Murtadza

Disampaikan sempena ceramah perdana Awal Muharram oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Madrasah As-Saidiyyah pada 17 November 2012. 

Semoga bermanfaat buat kalian....

Tuesday, October 23, 2012

Keistimewaan Buku Prinsip Asas Tasawuf

Kenapa buku ini istimewa? Apa sejarah buku ini saat Tareqat Ahmadiah berdepan pengharaman dahulu dan kronologi kisah tersebut. Semoga bermanfaat

Ijtimak Suri di dalam Tareqat Ahmadiah serta permasalahan pokok ahli tareqat

Kuliah mingguan yang diberikan oleh Dato' Sheikh Mohd Murtadza di Madrasah As-Saidiyyah yang membicarakan seputar permasalahan ahli tareqat serta visi dan misi beliau selaku pemimpin tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ini.


Monday, August 27, 2012

Amanat Sempena Haul Tuan Sheikh Hj Ahmad Mohd Said

Majlis Haul ialah suatu majlis bagi memperingati pemergian/kewafatan seseorang tokoh agama/ulamak.  Begitu sinonim dengan tokoh-tokoh sufi dan tarekat tasawuf. Maka dengan sebab itu, antara majlis besar yang sering diadakan ialah Majlis bagi memperingati seorang tokoh agama yang cukup dikenali di bumi Negeri Sembilan ini dan juga pengasas kepada Pondok Madrasah As-Saidiyyah, Rasah iaitu Tuan Sheikh Hj Ahmad bin Sheikh Hj Mohd Said al-Linggi. Beliau juga adalah mantan mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang pertama.

Dan pada 14 Julai 2012 lepas, telah diadakan majlis bagi memperingati beliau dan di bawah ini dikepilkan rakaman amanat dari pemimpin Tareqat Ahmadiah sekarang ini dan juga selaku anak yang tertua. Amanat yang disampaikan oleh Dato' Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Hj Ahmad ini adalah sebagai nasihat/cerita/pengajaran buat ahli dan pengikut tareqat serta bagi mengukuhkan kefahaman berkenaan isu-isu perjalanan tasawuf dan ahli sufi. 

Adalah bagi kami, semoga ia memberi manfaat yang besar buat kalian dan mohon maaf atas kelewatan kami memuat naik video ini atas sebab-sebab tertentu.

Wassalam.

Saturday, July 7, 2012

Kaifiat Beramal Dengan Kanzus Sa'adah

Kaifiat ini adalah menurut kata-kata Sayyid Muhammad Abdul 'Aali Al-Syarif r.a.

Yang di fokuskan ialah pada adab ketika membaca beserta sebutan yang betul mengikut makhraj dan juga tajwid. Waktu yang paling afdhal untuk beramal dan lain-lain lagi.


Tuesday, July 3, 2012

Mari mengenal Almarhum Dr Mahmud Saedon

Beliau adalah ipar kepada Sheikh Mohd Murtadza dan juga antara sahabat yang karib kepada beliau. Sumbangan yang masih diingat oleh Sheikh Murtadza ialah beliaulah mendesak agar tindakan di ambil berdepan dengan JAKIM berkenaan senarai hitam yang dikenakan pada Tareqat di bawah pimpinan Sheikh Abdul Rasyid Sheikh Mohd Said.

Antara yang cemerlang di Asia dalam Ph.D serta pembentang kertas kerja "Ijtima' Suri" pertama dan diakui hebat oleh Dr. Sulaiman.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Monday, July 2, 2012

Peringatan dan Amanat Semasa Haul Sidi Ibrahim Ar-Rasyid 2012

Masalah utama tareqat dan pandangan dari Jilsah Sufi ialah para pengikut tareqat tidak mengaji dan menjadi bala kepada tareqat itu sendiri. Membina generasi penerusan bagi kesinambungan yang lebih baik. Sebahagian buku yang dikarang oleh Tuan Sheikh Hj Ahmad lantaran melihat beberapa masalah yang akan mendatang. Buku Kanzus Sa'adah kini sedang diedit balik kerana banyak ralat dalam penterjemahan.

 Apa dia zikir tareqat dan apa pula zikir tolak bala yang disusun oleh Tuan Sheikh Hj. Ahmad?

 Jawapan Sheikh Murtadza kepada JAKIM tentang isu hubungan dengan tareqat yang bermasalah.

 "Kisah Sidi Ibrahim dan hubungan serta pertemuan beliau dengan Sidi Ahmad Ibnu Idris" dan bagaimana kisahnya hingga beliau dilantik sebagai pemimpin yang mengganti Sidi Ahmad?


Saturday, June 30, 2012

Apakah Dia Hakikat Ilmu?

Siapakah dia Hatim al-Asam dan apakah jawapan beliau kepada guru beliau iaitu Sheikh Syaqiq al-Balkhi saat ditanya pada beliau apa yang beliau telah perolehi selama 33 tahun beliau menuntut ilmu. Jawapan yang sungguh dahsyat serta sungguh menyeluruh hatta dikatakan ia adalah ilmu yang meliputi inti pati kitab samawi yang empat.

Kupasan yang sungguh panjang lebar dan padat dari soalan yang ke 20 dalam kitab "Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf" yang dikarang oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan di syarahkan di Madrasah As-Saidiyyah, Seremban. Semoga bermanfaat buat kalian











Wednesday, June 27, 2012

Perkembangan Tasawuf

Meninjau perkembangan tasawuf di dunia Islam dan perjalanannya seperti yang di kata oleh Ibnu Khaldun bahawa tasawuf ini mengikuti perjalanan Salafus Soleh. Kupasan yang panjang ini disertakan cerita-cerita dari Sheikh Murtadza yang dahulunya adalah Mufti Negeri Sembilan. Menarik untuk dikongsikan bersama. Semoga bermanfaat buat kalian.

Friday, June 22, 2012

Persoalan Pokok Dalam Tasawuf

Ini adalah bab kecil dalam kitab "Mabadi' Ilmu Tasawuf" karangan Sheikh Faraghli dan terbitan dalam terjemahan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Di jadikan asas dan memberi kefahaman mudah dalam memahami ilmu tasawuf pada awam yang ingin mula mendekati tareqat dan alam kesufian.

Lebih mengesankan bila ia disertakan misalan-misalan dan hubungkait pengalaman Sheikh Mohd Murtadza yang berada dalam bidang pentadbiran serta bertemu pelbagai ragam manusia dan permasalahan dan saya rasa perkongsian dan kaedah beliau ini unik. 

Semoga bermanfaat buat semua....

Thursday, June 21, 2012

Pengenalan Kanzus Sa'adah

Pendahuluan dan pengenalan kitab Kanzus Sa'adah ini di sampaikan oleh Dato' Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Hj Ahmad selepas dilancarkan baru-baru ini di majlis Sambutan Haul Sidi Ahmad Ibnu Idris yang kebetulannya penulis asal kitab ini. Kemudiannya dikemaskinikan beserta tashih dan dibariskan oleh Imam Al-Azhar Sheikh Soleh Al-Ja'fari manakala JK Madrasah As-Saidiyyah menterjemahkan ke bahasa melayu bagi memudahkan para ikhwan. Hizib ini adalah amalan khas cuma pada yang mengikuti Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah sahaja. 

Bagi yang ingin mendapatkan naskhah ini boleh didapati di Ahmadiah Shoppe dengan harga RM10.



Tuesday, June 19, 2012

Ceramah Sempena Isra' dan Mikraj di Madrasah As-Saidiyyah

Telah tiga hari berlalu, kini kami paparkan rakaman penuh video ceramah oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sempena peristiwa Isra' dan Mikaj Rasulullah S.A.W. Satu kupasan yang hebat lagi terperinci dari beliau dan kami berbesar hati untuk kongsikan ilmu ini dengan mereka yang tidak dapat hadir pada malam tersebut.

Video ini saya pecahkan kepada lima bahagian dan purata durasi bagi setiap klip adalah selama 15 minit. Dan pecahan bahagian ini adalah kerana juzuk-juzuk ilmu yang pelbagai sepanjang ceramah dan saya kepilkan sekali maklumat ringkas pada setiap bahagian bagi memudahkan rujukan terus saudara sekalian.


(klik untuk lihat)  BAHAGIAN 1

Bermula dengan muqaddimah ucapan dan seterusnya penceramah membawa penafsiran terperinci awal surah Isra' dan hubung-kait kenapa dan mengapa ayat pertama surah tersebut berlainan dari kebiasaan ayat yang lain dalam Qur'an.

Kedua pula penceramah membuat perbandingan mukjizat Isra dengan mukjizat nabi-nabi yang terdahulu dan penekanan di beri dalam dua aspek utama iaitu masa serta tempat.

 Dan yang terakhir pula ialah aspek keberkatan yang ditekan dalam peristiwa ini dan Dr Zul mengupas dengan gaya bahasanya yang tersendiri serta memecahkan pada dua aspek utama iaitu Berkat Dunia dan Berkat Akhirat.

(klik untuk lihat)   BAHAGIAN 2


Pada bahagian dua ini pula Dr Zul masih lagi mensyarahkan berkenaan tafsir ayat yang pertama bahagian kekuasaan Allah yang ditunjukkan dalam kisah ini pada Rasulullah S.A.W. dan juga hubung-kait dengan ayat kedua surah ini yang pada zahirnya tiada kena mengena (perihal kejahatan kaum Yahudi).

Seterusnya selepas habis bab tafsir, pergi pula pensabitan dalam hadis berkenaan peristiwa Isra' ini. Dan dikatakan lebih dari 20 riwayat dari para sahabat. Juga berbicara khilaf berkenaan tarikh sebenar peristiwa ini dan juga perbahasan kisah Isra' yang mencakupi semua bidang ilmu agama seperti fekah, hadith, tarikh serta ilmu tafsir.

Terakhirnya ialah titipan ta'arif Isra Mikraj yang hebat dari Maulana Ali Hassan An-Nadwi.

(klik untuk lihat)   BAHAGIAN 3


Dalam klip kali ini, Dr Zul masuk ke bahagian Fiqh Sirah. Lebih berbicara perihal muqaddimah kepada mukjizat yang mulia ini serta kemuliaan Rasulullah S.A.W.


Juga bercerita berkenaan binatang tunggangan Rasulullah S.A.W. iaitu buroq dan perihal istimewa haiwan ini.

Terakhirnya Dr Zul bercerita tentang hikmah Rasulullah S.A.W. berada di setiap lapisan langit dan perinciaannya. Semoga bermanfaat.

(klik untuk lihat)   BAHAGIAN 4


Pada video kali ini Dr Zul bercerita pula berkenaan manhaj kehidupan manusia selepas peristiwa Isra' serta penafsiran Taubat dari sisi peristiwa Isra dan Mikraj seperti yang di rungkaikan oleh Sheikh Azhar iaitu Sheikh Abdul Halim Mahmud.

Dan yang akhirnya ialah jenis-jenis hukuman yang diperlihatkan didalam neraka akibat dari dosa di dunia.

(klik untuk lihat)   BAHAGIAN 5


Persoalan ditimbulkan oleh Dr Zul "Mengapa perlu ke Baitul Maqdis dan kenapa tidak terus ke langit dari Makkah? serta pilihan yang diberikan oleh Jibrail alaihissalam pada Rasulullah S.A.W. iaitu Arak dan Susu (belum sampai lagi pensyariatan pengharaman arak ketika ini) dan jawapan logik dari Imam yang tersohor iaitu Imam Sya'rawi.

 Juga masuk perbincangan khilaf samada Rasulullah S.A.W. melihat Allah S.W.T ke tidak dan pensyariatan 5 waktu solat dan kesesuaian nama Mikraj dalam peristiwa ini.

Terakhirnya ialah kesimpulan dari peristiwa ini dari kisah selepas peristiwa Isra tersebut dan penerimaan manusia pada Dakwah Rasulullah S.A.W. serta penutup.

*******************

Pada akhirnya saya berharap agar bersama kita kongsikan kupasan yang menarik ini untuk saudara-saudara kita yang lain yang tidak berkesempatan hadir atau tidak tahu berkenaan rakaman ini. Saya cuba untuk memuatkan dalam bentuk DVD insyaAllah jika diberi kesempatan waktu. Suka saya maklumkan bahawa kitab-kitab karangan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada kami jual dan letakkan di Ahmadiah Shoppe berdekatan dengan Surau Kg. Pondok Rasah, Seremban. Pada yang berkesempatan hadir, kami jemput ke premis tersebut untuk mengetahui produk-produk yang kami pasarkan di sana.

Wednesday, June 13, 2012

Sambutan Isra' Mikraj (16 Jun) di Madrasah As-Saidiyyah

Assalamualaikum W.B.T.

Sukacita di maklumkan buat para saudaraku, satu sambutan bagi meraikan Isra' Mikraj akan di adakan di Madrasah As-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah, Seremban pada Sabtu bersamaan 16 Jun 2012 (27 Rejab 1433). Program akan di isi dengan ceramah agama dari tetamu jemputan iaitu Al-Fadhil Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Majlis bermula selepas menunaikan solat Maghrib.

Buat pengetahuan saudara sekalian, Dr Zulkifli Mohamad adalah panel bagi perbentangan kertas kerja Simposium pertama kali yang pernah diadakan di Madrasah As-Saidiyyah tahun 2011 yang bertajuk "Tareqat mengikut Sunnah" yang bergandingan dengan Al-Fadhil Tuan Guru Dr. Jahid bin Haji Sidek Al-Kholidi. Beliau juga (Dr Zulkifli) adalah pengajar bulanan di Madrasah As-Saidiyyah bagi kitab "Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf.

Besar harapan kami bagi kehadiran saudara sekalian bagi memeriahkan majlis sambil mengambil manfaat darinya. Terima kasih


*Harap dapat dikongsikan pada yang lain

Tuesday, June 12, 2012

Amanat Sheikh di Haul Sayyid Ahmad Ibnu Idris r.a.

Ini ialah rakaman semasa Sheikh Mohd Murtadza menyampaikan amanat sewaktu Haul Sayyid Ahmad Ibnu Idris r.a. pada 10 Jun 2012 di Madrasah As-Saidiyyah. Buat mereka yang ketinggalan bolehlah mengambil sedikit manfaat darinya.



Di bawah ini pula ialah penerangan berkenaan Hizib Kanzus Sa'adah yang di lancarkan oleh beliau sempena Haul Sayyid Ahmad Ibnu Idris r.a. Buku yang di maksudkan boleh di dapati di Ahmadiah Shoppe di bangunan Pusat Pengamalan Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah yang berdekatan dengan Surau. Harga yang diberitahu ialah RM10 dan khas buat pengikut Tareqat Ahmadiah. Ahmadiah Shoppe dibuka setiap hari bermula 3 petang sehingga 6 petang. Untuk pos, belum lagi disediakan perkhidmatan tersebut. Harap maklum

Saturday, June 9, 2012

Kanzus Sa'adah li Imam Sayyid Ahmad Ibnu Idris

Sebuah kitab kecil namun mempunyai manfaat yang besar insyaAllah akan di lancarkan di Madrasah As-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah sempena Haul Sidi Ahmad Ibnu Idris (Pengasas Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah). Ia adalah sebuah hizib amalan yang utama dalam Tareqat Ahmadiah dan dinamakan wirid itu "Kanzus Sa'adah" yang bermaksud "Perbendaharaan Kebahagiaan".


Di dalam kitab ini ada memuatkan biografi Sidi Ahmad Ibnu Idris selaku pemilik kepada wirid ini dan penyusun kembali wirid ini setelah di bariskan dan di tashih oleh Sheikh Soleh Al-Ja'fari iaitu seorang sufi yang besar dan terkemuka dan cukup di kenali di Mesir.


Didalam pendahuluan kitab ini ada menyebut bagaimana ia pada asalnya di tulis oleh Qutub Al-Nafis, Sidi Ahmad Ibnu Idris dan bagaimana jalannya hingga ia sampai ke tangan kita semua hari ini beserta kaedah dan adab serta bagaimana boleh kita selaku pengikut Tariq ini untuk beramal dengan hizib yang mulia ini. Seperti kata Sheikh kami iaitu Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Hj Ahmad, ia akan diselaraskan pengamalannya di Madrasah As-Saidiyyah dan bagaimana caranya bersama kita nantikan saat itu.


Buku ini pada asalnya di dalam bahasa arab dan alhamdulillah sebahagian dari kami dengan beberapa individu lain telah menterjemahkan kedalam bahasa yang kita semua faham dan semoga manfaat yang lebih besar dapat kita perolehi darinya.


Akan di lancarkan esok pada 10 Jun 2012 dan boleh di dapati di Ahmadiah Shoppe insyaAllah kalau tak silap saya pada sebelah petangnya sebelum majlis zikir yang akan di bawa oleh Sheikh Mohd Murtadza selepas maghrib. Semoga Allah S.W.T merahmati kita semua atas amalan sedikit yang kita lakukan ini. Ameen.

Thursday, June 7, 2012

Enakmen Kawalan Tareqat dan Enakmen Zakat

Enakmen yang dicipta segelintir menyangka ia menyusahkan. Enakmen zakat yang diperkenalkan oleh Tuan Sheikh Hj Ahmad Sheikh Mohd Said (Mufti Negeri Sembilan Pertama) yang banyak menyelesaikan kesulitan masyarakat hingga kini. Juga isu solat Jumaat di kilang-kilang.


Wednesday, June 6, 2012

Tiada Tajuk

Saya tak tahu nak letak tajuk apa untuk video di bawah ini. Video ini adalah klip antara isi semasa kelas mingguan Dato' Sheikh Mohd Murtadza dan saya rasa agak menarik untuk dikongsikan pada anda semua. Ia bercerita tentang pengalaman mula-mula beliau mengaji Qur'an dengan ayahanda beliau iaitu Tuan Sheikh Hj Ahmad bin Sheikh Hj. Mohd Said al-Linggi.

Beliau juga menekankan betapa tidak dibolehkan mencampur-aduk amalan zikir tareqat dengan zikir-zikir hasanah yang lain seperti zikir tolak bala yang telah di susun oleh Tuan Sheikh Hj. Ahmad seperti yang terdapat di dalam kitab "Safinahtu Salamah" dan sebagainya. Perlu dikhususkan pada majlis-majlis tertentu bagi jenis-jenis zikir seperti yang telah di sebutkan di atas.

Kompilasi Kuliah "Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf" oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Posting kali ini mengumpulkan sekaligus kesemua video yang telah dimuat-naik ke Youtube berkenaan kuliah Kitab "Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf" yang telah di berikan oleh Al-Fadhil Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Madrasah As-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah, Seremban Negeri Sembilan

*akan di update dari semasa ke semasa


1. Soal Jawab A-Z Siri 1
   -Apakah yang dimaksudkan dengan Tasawuf dari segi bahasa?
   -Apakah yang di maksudkan dengan Tasawuf dari segi istilah?
   -Apakah definisi al-Sya'rani berkenaan Tasawuf?

2. Soal Jawab A-Z Siri 2
   -Apakah Hakikat Tasawuf?

3. Soal Jawab A-Z Siri 3
   -Apakah Hukum Mempelajari Tasawuf?
   -Apa Faedah Mempelajari Ilmu Tasawuf?
   -Apakah Tajuk Perbahasan Tasawuf?
   -Apakah Matlamat Mempelajari Tasawuf?

4. Soal Jawab A-Z Siri 4
   -Apakah Tujuan Sebenar Tasawuf?
   -Apakah Sumber Rujukan Tasawuf?

*Video selepasnya saya muat-naik berdasar pada soalan.


5.Apakah Sumber Penghayatan Tarbiah Kerohanian?

6. Bagaimanakah Pengajaran Tasawuf Oleh Sheikh Abdul Kadir Jilani?

7. Apa Kaitan Antara Tasawuf Dan Akhlak?

8. Bagaimanakah Akhlak Terpuji Mempengaruhi Golongan Sufi?

9. Apakah Sifat-Sifat Sufi?

10. Bagaimana Tasawuf Mampu Menjana Pembangunan Negara?

11.Apakah Sebab Kelambatan Kelahiran Gelaran Sufi Dalam Masyarakat Islam?

12. Bagaimana Pandangan Sheikh Muhammad Abduh Tentang Ahlullah dan Tasawuf

13. Apakah Itu Hakikat Ilmu?





Pandangan Sheikh Mohd Abduh Tentang Ahlullah dan Tasawuf


Mungkin ramai yang tidak bersetuju dan pandangan ini ialah pandangan beliau yang berasaskan maklumat yang beliau terima dan dari pembacaan beliau. Namun saya harap ia tidak mengundang kontroversi yang melampau.

Pandangan ini di muatkan dalam karangan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakti iaitu "Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf dan kuliah ini di adakan di Madrasah As-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah, Seremban


Monday, June 4, 2012

Apakah Sebab Kelambatan Kelahiran Gelaran Sufi Dalam Masyarakat

Ada beberapa sebab kalau mengikut pandangan Dr Ibrahim Bisyuni dan Dr Zulkifli mengupas jawapan yang telah di berikan. Dan ini adalah soalan yang ke 17 dalam kitab Soal Jawab A-Z tentang Tasawuf.

"Masyarakat Islam pada awalnya lebih suka digelarkan dengan gelaran yang digambarkan adanya hubungan yang rapat dengan Rasulullah S.A.W. sebagai pemimpin dan punca rahmat kepada manusia"

Friday, June 1, 2012

Wahai Orang Muda!!

Ada yang menarik hati dalam video kali ini... Ada juga cerita tentang daging kuda yang berwarna hitam

Wednesday, May 30, 2012

Ehsan serta Definasi Tasawuf

Petikan definasi tasawuf dari sebahagian ulama' sufi. Dipanjangkan oleh Dato' Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Hj. Ahmad di Madrasah As-Saidiyyah, Seremban.


Tazkirah Rejab / Maqam Ehsan

Sempena bulan Rejab ini, Sheikh Murtadza ada menyebut dengan ringkas beberapa nasihat dan amalan buat para ikhwan serta menceritakan perihal maqam Ehsan yang sinonim dengan Tasawuf. Semoga amalan yang di buat diberkati dan diterima Allah S.W.T.

Thursday, May 24, 2012

Bagaimana Tasawuf Mampu Menjana Pembangunan Negara

Soalan yang ke 16 dari kitab "Soal Jawab A-Z tentang Tasawuf" dan disyarahkan sendir oleh pengaran kitab tersebut iaitu Al-Fadhil Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Madrasah As-Saidiyyah.

Jawapan yang beliau berikan berdasarkan pandangan dari Dr. Hassan al-Asymuni dalam bukunya "Ruhiah fi bina al-Mujtama'".

Sedikit pandangan yang beliau lontarkan dari buku ini iaitu Pembinaan Nilai-Nilai Kerohanian Yang Kukuh Menjadi Perisai Kepada Kefahaman Negara Islam

Apakah Sifat-Sifat Sufi

Soalan nombor 15 dari kitab "Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf" dan disampaikan sendiri oleh pengarang kitab tersebut iaitu Al-Fadhil Ustaz Dr  Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Madrasah As-Saidiyyah. Jawaban yang diberi beliau adalah melalui gambaran yang diberikan oleh Ibnu Sina tentang kedudukan akhlak yang menjadi hiasan kepada kaum sufi.

Semoga bermanfaat.

Thursday, May 17, 2012

2 kisah yang menceritakan keajaiban Islam

Dari Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Video ini adalah sedutan dari siri kuliah beliau di Madrasah As-Saidiyyah, Seremban. Negeri Sembilan.

Sunday, May 13, 2012

Bagaimanakah Akhlak Terpuji Mempengaruhi Golongan Sufi

Kuliah bulanan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Madrasah As-Saidiyyah, Rasah, Seremban. Buku yang beliau ajar ialah buku karangan beliau sendiri iaitu Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf dan kali ini telah sampai soalan yang ke 14 iaitu seperti yang tertera di tajuk dia atas.

Semoga Bermanfaat..

Tuesday, May 8, 2012

Apa Kaitan Antara Tasawuf Dan Akhlak

Soalan yang 13 di dalam kitab Soal-Jawab A-Z tentang Tasawuf yang di bincangkan oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Madrasah As-Saidiyyah.

Pengertian akhlak serta bagaimana kedudukannya di dalam tasawuf?



Monday, April 23, 2012

Madrasah As-Saidiyyah menerima tetamu besar dari Yaman iaitu Habib Umar Bin Hafiz


Semalam iaitu 22 April 2012, Madrasah As-Saidiyyah menerima kunjungan mengejut dari seorang ulama sufi yang hebat dan juga Ahli Bait iaitu Tuan Habib Umar bin Hafiz dari Yaman beserta rombongannya. Turut serta dengan rombongan beliau ialah Tuan Guru Sheikh Nuruddin al-Banjari. Lawatan beliau ke Madrasah ini adalah cuma persinggahan beliau yang dalam perjalanan ke Masjid Negeri, Negeri Sembilan untuk Program Ihya' Mahabbah bersama Habib Umar.

Beliau sempat menunaikan solat Asar serta beramah mesra bersama Dato' Sheikh Mohd Murtadza serta minum petang di Pusat Pengamalan Tareqat dan meluangkan masa bertukar-tukar cenderamata. Harapan kami agar pertemuan ini bukannlah pertemuan terakhir kami dengan beliau. Terima kasih kepada organisasi yang mengaturkan pertemuan ini dan mereka yang membantu menjayakan majlis yang serba ringkas ini.

Friday, April 20, 2012

Istighfar Dalam Tareqat

Sebahagiannya tidak mengetahui bahawa wujud perkumpulan yang meninggalkan amalan Istighfar Kabir dalam Tareqat Ahmadiah dan menambah benda yang lain walhal inilah yang asas dibawa oleh Pengasas Tareqat Ahmadiah yang utama iaitu Sayyid Ahmad Bin Idris dan wujud dalam Kitab Ahzab beliau. 

Sebahagiannya menafikan akan perkara tersebut namun Sheikh Murtadza menjelaskan dalam video ini dan mengajak mereka-mereka ini kembali kepada Tareqat yang asal. Serta menolak kepada golongan yang cuba menubuhkan tareqat yang baru serta tiada pada asalnya.

*Maaf, ada kekurangan dalam sistem bunyi video ini.

Wednesday, April 18, 2012

Sejarah Madrasah As-Saidiyyah

Dari sejarah kebiasaannya bermula satu titik kefahaman dan datangnya perasaan kasih pada sesuatu perkara. Sejarah Madrasah yang cukup lama ini mungkin boleh menerbitkan sesuatu perasaan pada diri kita barangkali. Madrasah ilmu yang di asaskan oleh ulama' tersohor Negeri Sembilan Darul Khusus ini tersangatlah unik dan istimewa dan menjadi kebanggaan pada warga Negeri Sembilan yang memahami peranan institusi sebegini dalam mentarbiah insan.

Video ringkas ini adalah diantara isi penceritaan tersebut dan semoga bermanfaat buat kalian. 

Monday, April 16, 2012

Mengenali Sayyid Ibnu Idris Rahimahumullah

Assalamualaikum, 

Beliaulah yang telah melantik Khalifah kita iaitu Dato' Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Ahmad sebagai ketua Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah dan nama beliaulah yang seringkali Sheikh kita sebut setiap kali di dalam kelas. Untuk mengenali lebih lanjut tontonilah video di bawah...


Video ini di rakam sempena haul Sayyid Ibnu Idris pada 17 Mac 2012 lalu di Madrasah As-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah, Seremban.

Tuesday, April 10, 2012

Sunday, April 8, 2012

Ucap tama Sheikh Sempena Haul Sheikh Mohd Said




Ucaptama oleh Khalifah Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah Ar-Rasyidiyyah Ad-Dandarawiyyah iaitu Dato' Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Ahmad sempena sambutan Majlis Haul Sheikh Hj. Mohd Said bin Sheikh Jamaluddin Al-Linggi. Tokoh ini merupakan pembawa Tareqat Ahmadiah dan juga yang bertanggung jawab menyebarkannya di Rantau Tanah Melayu ini.

Penekanan:


1. Kenapa tidak di sekalikan Haul sheikh dengan Maulidurrasul yang kebetulan jatuh pada tarikh yang serentak.
2. Ilmu dan sistem menuntut yang sangat penting. Bukan dengan cara yang memaksa dan ganas.
3. Pengiktirafan yang diterima oleh Sheikh Hj. Mohd Said dari pelbagai golongan manusia dan bangsa luar sebagai seorang ulamak yang hebat.
4. Kehebatan manusia bukan di ukur dari keturunan dan seumpamanya melainkan ilmu yang ikhlas.
5. Merubah sistem yang sudah benar agar disesuaikan dengan kehendak hawa nafsu? Ini adalah salah yang nyata.
6.Terima kasih pada Kerajaan Negeri di atas sokongan yang diberi dari sejak zaman Sheikh Ahmad bin Sheikh Mohd Said.
7.Kehadiran yang ikhlas pada majlis zikir adalah sangat penting.
8.Definasi ulama.
9. Kisah perlantikan Sheikh yang menjadi isu/kontraversi oleh orang sekeliling selepas perginya Sheikh Abdul Hamid bin Sheikh Mohd Said.
10.Mengenal Sheikh Mohd Said/Sejarah dan Kisah/Perjalanan penyebaran tareqat oleh beliau dan mengenal antara guru-guru beliau.

Thursday, April 5, 2012

Bagaimanakah Pengajaran Tasawuf Sheikh Abdul Kadir Jilani

Soalan nombor 12 dari kitab Soal jawab A-Z Tentang Tasawuf karangan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Penyampaian beliau di adakan di Madrasah As-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah, Seremban. 

Pengajaran Tasawuf Al-Jilani di rekodkan dalam beberapa buah bukunya seperti Futuh al-Ghayb, al-Ghunyah li Talibi Tariq al-Haq dan al-Fath  al-Rabbani.

Al-Jilani berpendapat bahawa matlamat tasawuf adalah begitu mudah iaitu mematuhi syariat dan menjadi hamba yang beriman dengan Allah.....

Wednesday, April 4, 2012

Apakah Sumber Penghayatan Tarbiah Kerohanian?

Penggabungan antara kefahaman terhadap Islam dengan pelaksanaannya,
Berbicara tentang ihsan dan berusaha mempraktikkan kehendak ihsan di dalam dirinya,

Inilah antara intipati bagi video dibawah yang disyarahkan oleh Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri dalam siri kelas pengajian tasawuf beliau di Madrasah As-Saidiyyah, Rasah, Seremban.

Wednesday, March 21, 2012

Diantara Wirid-Wirid Tareqat Ahmadiah

Sambungan syarahan dari Kitab Pengantar Tareqat Ahmadiah disampaikan oleh Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Ahmad yang asalnya ditulis oleh ayahanda beliau iaitu Sheikh Hj Ahmad Sheikh Hj Mohd Said.


Monday, March 19, 2012

Makluman tentang kuliah bulanan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri


Sekadar makluman dan ingatan, kuliah tasawuf bulanan oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas Maghrib ini(19 Mac) di Madrasah as-Saidiyyah. Jangan lupa bawa kitab ye.

Kitab Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf

Wednesday, March 7, 2012

Majlis Hol Sayyidi Ahmad bin Idris bin Sayyidi Muhammad Hassan bin Sayyidi Muhammad Sharif bin Sayyidi al-‘Ali bin Sayyidi Ahmad bin Idris al-Idrisi RA

Majlis Hol Sayyidi Ahmad bin Idris bin Sayyidi Muhammad Hassan bin Sayyidi Muhammad Sharif bin Sayyidi al-‘Ali bin Sayyidi Ahmad bin Idris al-Idrisi RA atau lebih dikenali Sayyidi Ibn Idris Dipimpin oleh Dato' Syeikh Hj. Mohd Murtadza B. Syeikh Hj. Ahmad

Tempat : Madrasah As-Saidiyyah, Surau Kampung Pondok Rasah

Tarikh : 17 Mac 2012

Masa : Maghrib

Muslimin Dan Muslimat Di Jemput Hadir...

Tradisi hol sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita di Nusantara. Tradisi ini bukanlah perkara yang dibuat-buat sendiri oleh orang-orang Melayu, tetapi adat yang telah diterima daripada para ulama terdahulu. Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani berkata : “...Dan telah menjadi adat kebiasaan orang untuk bersedekah bagi si mati pada hari ke-3 dari kematiannya, hari ke-7, pada sempurnanya hari ke-20, hari ke-40, hari ke-100, dan setelah itu dilakukan setiap tahun pada genapnya haul dari tarikh kematiannya...".

Kebiasaannya dalam majlis hol ulama, akan diperdengarkan serba sedikit mengenai biografi atau riwayat hidup untuk kita mengenang jasa-jasa beliau dan juga jasa-jasa sekalian ulama yang telah menyampaikan kepada kita ajaran Junjungan Nabi SAW yang menjadi suluh dalam kehidupan kita. Membaca sejarah para pemuka Islam ini mempunyai faedah dan kelebihan tersendiri. Cukuplah faedahnya jika perjalanan hidup mereka menjadi tauladan bagi kita dalam menuruti jejak langkah Junjungan Nabi SAW. Inilah antara tujuan kita untuk mengadakan hol dan bukannya untuk bermegah-megah.

Oleh itu, diharap yang kita dapat hadir dan mengikhlaskan niat untuk memperolehi manfaat yang besar dalam memperingati ulama dan auliya` ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w : "Sesiapa yang menulis sejarah seorang mukmin (yakni seorang yang benar-benar beriman), maka seumpama dia menghidupkannya. Sesiapa yang membaca sejarahnya seumpama dia menziarahinya. Sesiapa yang menziarahinya, maka pasti dia memperolehi keredhaan Allah ta`ala dalam kenyamanan syurga dan menjadi hak (yakni kewajipan) bagi seseorang untuk memuliakan penziarahnya."

Monday, March 5, 2012

Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf Siri 4

Kuliah ini disampaikan oleh Dr Zulkifli Mohamad al_bakri dan di adakan di Madrasah As-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah Seremban yang juga lokasi Pusat Pengamalan Tariqat Ahmadiah Idrissiyyah. 



Thursday, February 16, 2012

Ijtimak Maulidur Rasul 1433H

Telah berlangsung dengan jayanya Sambutan Maulidur Rasul 1433H di Madrasah As-Saidiyyah hasil usahasama dengan Jabatan Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus pada 5 Februari 2012 bersamaan 12 Rabiul Awal 1433H.

Majlis bermula pada sebelah petangnya dengan bacaan berzanji dari kumpulan berzanji masjid jemputan dan juga Qasidah dari Institut Tahfiz Quran Negeri Sembilan.

Pada malamnya majlis di mulakan dengan ucaptama oleh Sohibus Samahah Dato' Hj Mohd Yusof bin Hj Ahmad iaitu Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus dan seterusnya majlis penyempurnaan pelancaran buku "Aurad Tareqat Ahmadiah serta Kelebihannya" oleh Dato' Sheikh Hj Mohd Murtadza Sheikh Hj Ahmad. Buku ini ialah karangan asal oleh Sheikh Hj Ahmad bin Sheikh Muhamad Said al-Linggi iaitu pengasas Madrasah As-Saidiyyah dan juga mantan mufti Negeri Sembilan yang pertama.

Kemuncak majlis ialah perbentangan kertas kerja yang bertajuk "Uswah Hasanah: Cabaran Dalam Ta'alim, Tarbiyyah dan Tarqiyyah" oleh pakar jemputan iaitu Tuan Guru Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Kholidi.

Semoga majlis yang telah berlangsung tidak akan terhenti begitu sahaja, dan kami harapkan keberkatan serta ilmu dan nasihat yang dapat di timba disepanjang majlis dapat di manfaatkan oleh jemaah yang hadir dan berterusan amalan kita sehingga kita bertemu Allah S.W.T. kelak.

Akhir kata, jutaan terima kasih pada Jabatan Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus atas penganjuran bersama pada kali ini dan juga buat perkumpulan dan individu yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis kali ini, semoga limpahan keberkatan dan amalan yang soleh menjadi bekalan kita di neraca Allah kelak.

"Syafaat Rasulullah S.A.W. kami mohon pada mu Ya Allah, 
Semoga jariah kami  ini berterusan kesinambungannya InsyaAllah"



Ucaptama Majlis Sambutan Oleh Sohibus Samahah Dato' Hj Mohd Yusof Hj Ahmad




1. Pelancaran Buku "Aurad Tareqat Ahmadiah dan Kelebihannya"
2. (14:03) Perbentangan Kertas Kerja Oleh Dr. Hj. Jahid Bin Hj Sidek Al-Kholidi



Sambungan Perbentangan Kertas Kerja Oleh Dr. Hj. Jahid Bin Hj Sidek Al-Kholidi

Sekian, Terima Kasih.

Thursday, February 2, 2012

Monday, January 30, 2012

Jemputan ke Majlis Sambutan Maulud Nabi 12 Rabi'Awal 1433H


USAHA SAMA MAJLIS INI DIADAKAN BERSAMA 
JABATAN MUFTI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

*Majlis Berzanji Bermula Selepas Solat Asar
*Perbentanganb Kertas Kerja Selepas Ucap tama dari Mufti Kerajaan Negeri Sembilan iaitu 
Dato' Hj. Mohd Yusof bin Haji Ahmad.
*Juga ada pelancaran buku Aurad Tareqat Ahmadiah Serta Juga Pameran dan Jualan.

Friday, January 27, 2012

Mencari guru yang Mursyid dalam perjalanan Tareqat

Disampaikan oleh Dato' Sheikh Mohd Murtadza di kuliah mingguan beliau. Hari Selasa malam Rabu di Madrasah as-Saidiyyah. Buku itu ialah buku Pengantar Tareqat yang di tulis oleh ayahanda beliau iaitu Sheikh Hj Ahmad Sheikh Muhammad Said al-Linggi.

Monday, January 23, 2012

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW

ATURCARA MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW DI SURAU MADRASAH ASSAIDIAH KPG. PONDOK RASAH PADA 05HB FEB 2012 /12 R'AWAL 1433H.

(Usahasama kali ini dengan Jabatan Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus)

4.00pm : Pameran dan Penjualan Kitab Aurad (4.00pm ~ 7.00pm)

4.30pm : Solat Asar berjemaah.
...

5.00pm : Majlis Berzanji dan selawat. (Masjid Jamek Rasah)

6.30pm : Minum petang.

6.45pm : Persembahan bacaan Qasidah dan Nasyid dari ITQAN Gemencheh.
(6.45pm ~ 7.15pm)

7.30pm : Solat Maghrib berjemaah.
8.00pm : 1. Ucapan Aluan Pengerusi Majlis.
               2. Ucaptama Dato' Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
               (Sohib al-Samahah Dato' Hj. Mohd Yusof b. Ahmad)
               3. Pelancaran Kitab Aurad Tarekat Ahmadiah oleh:
              (Dato' al-Sheikh Hj. Mohd Murtadza b. Hj. Ahmad)

8.20pm : Pembentangan Kertas Kerja oleh:
               Tuan Guru Dr. Hj. Jahid b. Hj. Sidek al-Kholidi.
               Bertajuk:
               "USWAH HASANAH DARI RASULULLAH SAW"

10.30pm : - Penyampaian Cenderamata.
- Solat Isyak berjemaah.
- Jamuan makan malam dan persembahan Qasidah.
- Bersurai

*(Kertas Kerja Pembentang Utama disediakan)

Wednesday, January 18, 2012

Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf Siri 3

Kuliah Bulanan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Madrasah as-Saidiyyah. Maaf atas kualiti video


Monday, January 16, 2012

Draf buku Aurad Ahmadiah

Apa pandangan anda semua?


Dilancarkan pada masa Sambutan Maulid Nabi nanti insyaAllah

Sunday, January 15, 2012

Taqwim Tahunan Madrasah As-Saidiyyah (2012)

#Kuliah mingguan Dato' Sheikh Mohd Murtadza ialah setiap hari Selasa malam Rabu.

#Kuliah bulanan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pula pada setiap minggu ketiga hari Isnin.

Sebarang perubahan pada jadual akan dimaklumkan kemudian.