Popular Label

Berita (12) DrZul (17) Gambar (3) Kitab (3) Review (5) Tazkirah (36) Video (44)
Blog yang membicarakan aktiviti-aktiviti di Madrasah as-Saidiyyah, Surau Kampung Pondok Rasah, Seremban. Juga boleh mengetahui berkenaan Tariqat Ahmadiah di bawah pimpinan Dato' Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Hj Ahmad serta Pusat Pengamalan Tariqat Ahmadiah di http://alahmadiyyah-rasah.blogspot.com/

Thursday, December 22, 2011

Gambaran UMUM al-Ahmadiyyah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyyah


Secara umumnya pengasas ketiga bagi Tarekat Ahmadiah yang kita tahu ialah Sidi Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi. Gelaran terakhir itu di nisbahkan pada satu tempat yang dikenali sebagai Dandarah yang berada dalam negeri Qina, Mesir. Beliau berasal dari keluarga bangsawan Maghribi dan berhijrah ke Mesir kerana ingin memerangi penjajah kafir yang berada di Mesir ketika itu.

Beliau sejak kecil lagi telah mula bersama dengan Sidi Ibrahim ar-Rasyid dan meninggalkan Dandarah dalam usia yang muda belajar mencari guru di Mekah dan Sufi yang terkenal ketika itu (Sidi Ibrahim). Seterusnya menerima Tarekat Ahmadiah dari gurunya itu tanpa wasitah maka lengkaplah Nama Tarekat sebagai Tarekat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiah.

Peraturan tambahan yang Sidi Muhammad lakukan semasa beliau memimpin Tarekat Ahmadiah ini ialah ucapan talqin “La-Illaha-illa Allah wa Allahu akbar" sebanyak empat kali bagi mereka yang ingin memasuki tarekat. Cara ini tidak terdapat saat mana Sidi Ibrahim memimpin tareqat.

Antara murid Sidi Muhammad ad-Dandarawi yang berasal dari Asia Tenggara dan khususnya dari Malaysia termasuklah  Tuk Shafi’i dari Kedah, Muhammad Said bin Jamaluddin al-Linggi dari Negeri Sembilan dan Abdul Samad bin Muhammad Saleh al-Kelantani atau lebih di kenali sebagai Tuan Tabal dari Kelantan.

Sidi Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi meninggal dunia di Madinah pada tahun 1909 Masihi dan tugas beliau di gantikan oleh anaknya iaitu Sidi Abbas bin Muhammad. Sidi Abas bin Muhammad terus tinggal di Mekah sebagai pemimpin Tarekat Ahmadiah dan merupakan ahli Sufi yang terkenal di sana pada permulaan abad yang ke 20 Masihi. Diantara anak muridnya dari Malaysia ialah Tuan Haji Mansor bin Haji Muhammad Said, Haji Muhammad Nor dan keluarga Sheikh Haji Muhammad Said yang lain. Sidi Abbas akhirnya terpaksa meninggalkan Mekah kerana sikap kaum Wahabi yang tidak menyukai beliau. Beliau pulang ke Kaherah sehingga ke akhir hayatnya dan meninggal dunia pada tahun 1953 dan dikebumikan di Basatin dan terletak di dalam sebuah Masjid yang dikenali sebagai Masjid Imam al-Dandarawi Abu’l-Abas

Lantikan seterusnya ialah Sidi Amir Fadl bin Abas iaitu sebagai Pemimpin Keluarga al-Dandarawiah. Disebut sebagai al-Sufi huwa ibn al-hal yang mempercayai kepada konsep masa dan keadaan berubah dari satu masa ke masa yang lain. Beliau yang berterus-terang mengatakan bahawa keluarga Tarekatnya tidak sama dengan Tarekat Suffiyah Taqlidiah atau Tarekat Sufi ikut-ikutan yang lain yang mempunya motif-motif tertentu dalam perjuangannya. Ini kerana itu Usrah atau keluarganya berdasarkan kepada ajaran tasawuf dengan kadar dan falsafahnya tersendiri, yang pandangannya terpusat kepada peribadi Rasulullah s.a.w.

Beliau yakni Sidi Amir Fadl tidak pernah menyebut Tarekatnya sebagai Tarekat Ahmadiah atau Tarekat al-Dandarawiah tetapi sebaliknya yang selalu beliau sebut ialah usrah atau keluarga dan slogannya pula ialah “Allahu Akbar nanhu Muhammadiyyun wa liLlahi hamd” yang bermaksud Allah Yang Maha Besar dan kami semua adalah pengikut Nabi Muhammad. Dan oleh kerana ia di namakan usrah maka syarat masuknya juga adalah longgar, cuma yang pentingnya mempunyai cita-cita untuk menuju kepada keperibadian Nabi Muhammad s.a.w.

Maka kini kita masuk pula kepada perkembangan Tarekat Ahmadiah di Malaysia.

Seperti sedia maklum diatas tadi sudah di tulis yang murid kepada Pengasas ketiga Sidi Muhammad ad-Dandarawi yang masyhur ialah tiga orang semuanya. Jika mahu di ulas ketiga-tiganya ia akan jadi panjang berjela-jela. Lebih baik jika kita fokuskan kepada Sheikh Haji Muhammad Said bin Jamaluddin al-Linggi serta keluarganya  dari Negeri Sembilan lantaran hubungan kekeluargaan yang wujud kini di Pondok Rasah.
Biodata penuh beliau boleh anda semua dapati di sini agar lebih jelas akan peribadi beliau.

Setelah menerima Tarekat dari gurunya iaitu Sidi Muhammad ad-Dandarawi maka beliau di arahkan untuk kembali ke Tanah Melayu dengan maksud beliau telah di angkat sebagai Khalifah Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiah bagi kepulauan Melayu khusunya Tanah Semenanjung Malaysia manakala wakil di India pula adalah seorang murid beliau yang lain iaitu Sidi Abu Hasan al-Azhari.

Sheikh Haji Muhammad Said telah membuka kelas pengajiannya dan pusat kegiatan Tarekat Ahmadiah di Ampangan, Negeri Sembilan. Seterusnya beliau juga mengembara di Kedah, Kelantan dan Terengganu bagi melaksanakan tugas khalifah seperti yang di amanahkan oleh gurunya.  Di Kelantan beliau menumpang di rumah seorang yang di kenali sebagai Haji Awang di jalan Atas Bonggol, Kota Bharu. Terjadi juga beberapa isu yang tidak menyenangkan peribadi beliau saat beliau berada di Kelantan namun biarlah perkara itu saya ulas kemudian. Lagi tempat yang beliau kunjungi untuk berdakwah termasuklah di Singapura, Utara Bangkok di Thailand, Burma dan Kepulauan Riau.

 Beliau meninggal dunia pada tahun 1926 Masihi dan meninggalkan 3 orang isteri dan 16 orang anak.

Dalam bidang penulisan beliau hanya sempat menulis atau menyusun beberapa risalah sahaja seperti risalah “al-Kasyf wa al-Nafis”, sebuah syair tanpa tajuk di dalam bahasa arab yang mengkritik kaum wahabi dan risalah mengenai selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Dan yang di lantik selepas beliau dari kalangan ahli keluarganya ialah Haji Abdullah bin Haji Muhammad Said sebagai pemimpin keluarga besar Tarekat Ahmadiah. Namun juga Sheikh Haji Abdullah sering sahaja menyerahkan tugas kepada adiknya iaitu Haji Ahmad bin Muhammad Said.

Bersambung..

Monday, December 12, 2011

Sedikit penjelasan isu di Madrasah as-Saidiyyah


Sesungguhnya artikel ini saya tulis bukanlah untuk membela Sheikh Murtadza bin Sheikh Ahmad atau untuk menjatuhkan mana-mana pertubuhan atau individu yang mempunyai hubung-kait dengan Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyyah bahkan, sebagai pencerahan bagi para ikhwan memahami akan seperkara yang akan diterangkan di dalam artikel ini.

Dengan memahami makna Tareqat serta peranannya sahaja sudah mencukupi untuk menarik minat manusia mendekatinya. Seolahnya ada rahsia yang bakal terbongkar andainya manusia itu terjun ke dalamnya. Namun sayang sekali manusia itu gagal untuk mempelajari perkara asas dengan lebih mendalam maka membawa kepada kecelaruan yang bakal membinasakannya. Pemahaman yang jarang ditekan dan juga jarang di praktikkan seolahnya manusia itu sudah cukup sahaja dengan praktikal@amali maka jadinya seringkali membawa kepada kelalaian. Saya merasakan ada satu perkara yang perlu dijelaskan disini agar kita semua kembali untuk menguatkan yang umbi agar seterusnya Tareqat yang kita dambakan ini sebati dan membantu di akhirat kelak.

Sudah dimaklumi bahawa Sheikh@Khalifah bagi Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyah di Malaysia dan Asia Tenggara ini terpikul di bahu Dato’ Sheikh Haji Mohd Murtadza Sheikh Ahmad. Dan beliau yang di yakini akan kemampuannya untuk mentadbir oleh Tuan Guru yang telah melantik beliau sebenarnya mempunyai visi yang tersendiri. Satu visi yang cukup mudah untuk di hadamkan serta difahami iaitu meneruskan apa yang dibawa, dilakukan bahkan mengembangkanya iaitu ajaran Sheikh Hj. Ahmad Mohammad Said al-Linggi di rantau Tanah Melayu ini. Dengan wujudnya kitab “Pengantar Tareqat Ahmadiah” yang baru sahaja dikemaskinikan oleh JK Madrasah as-Saidiyyah menjadi bukti persamaan pembawakan Sheikh Murtadza dengan ayahanda beliau. Dengan tidak menyalahi sebarang Prinsip Asas Tareqat sekurangnya menambahkan keyakinan para ikhwan kepada kepimpinan beliau.
Prinsip-Prinsip Asas Tareqat yang telah dibentangkan oleh Tuan Guru Dr. Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi pada Simposium Pertama tahun ini jika difahami oleh para ikhwan Tareqat Ahmadiah dengan baik pastinya kepimpinan Sheikh Murtadza tidak akan menghadapi krisis yang sudah kita semua maklum. Krisis yang membawa kepada perbalahan dan pecah-belah sesame ahli sepatutnya tidak berlaku jika kefahaman ilmu Tareqat mendahului logik akal dan nafsu masing-masing. Adalah menjadi satu malapetaka yang menyedihkan kita kerana situasi ini akhirnya terpaksa kita hadapi. Maka saya mengambil tanggungjawab ini berdasarkan rujukan pada yang berilmu dan sedikit pembacaan saya sendiri akan persoalan ini agar ia dapat di rungkaikan.

Yang menjadi isu di sini ialah status Usrah ad-Dandarawiyyah di dalam Tareqat Ahmadiah dan bagaimana kita sebagai ikhwan menghadapinya. Dengan cubaan untuk menjernihkan keadaan maka keputusan yang telah berungkali saya sebut dalam sessi perbualan dan juga dalam perdebatan ialah menolaknya HANYA di Madrasah as-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah. Penolakan itu bukanlah bermakna Tareqat Ahmadiah menolak pandangan, keilmuan apatah lagi menjatuhkan hukum sesat kepada golongan yang menerima pakai Usrah ad-Dandarawi. Bagaimana secara mudahnya untuk difahami bagi kami untuk menerima slogan perkumpulan luar di guna pakai di tempat kami sendiri sementelah pula perkara itu tidak juga pernah dilakukan oleh Ayahanda Sheikh Murtadza sendiri  selaku pengasas kepada Madrasah as-Saidiyyah dan begitu juga ketua-ketua Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyah selepasnya. Dan perkara ini nampaknya tidak juga difahami oleh pihak yang menentang pandangan kami walhal ia juga adalah selari dengan Enakmen Tareqat Tasawuf Negeri Sembilan ! Ditegaskan disini bahawa Usrah ad-Dandarawi bukanlah Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah dan Tareqat Ahmadiah juga bukan sebaliknya. Penggunaan ad-Dandarawi membawa 1 maksud pada 2 tujuan yang berlainan pada 2 organisasi yang juga berlainan. Punca yang terjadi sudah pun di jawab oleh Sheikh Murtadza berulangkali di dalam kuliah beliau dan akan saya perincikan andai punyai kesempatan. Juga sudah dijelaskan berulangkali punca terjadinya penolakan itu yang mana  tidak membawa pun kepada maksud untuk menghukum sesat pada Usrah ad-Dandarawi.

Permasalah yang kedua pula adalah menjadi kemusykilan kami akan kewujudan satu lagi nama dibawah payung Tareqat iaitu Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah al-Linggi!. Kami tidak mengambil endah akan perkumpulan baru ini pada permulaannya namun tetapi, kami kini terpaksa jua memandang serius akan perkara ini lantaran kekeliruan yang berlaku diantara sesama ikhwan. Beberapa maklum balas yang diterima terdapat segelintir ikhwan yang menyangkakan ia adalah nama lain pada satu pertubuhan yang sama di bawa oleh Sheikh Murtadza. Merebaknya salah-faham ini yang pada kiraan saya bakal mencetuskan fitnah besar yang terbaru,  maka kami tidak boleh berdiam diri sahaja menghadapinya. Maka tercetuslah penulisan ini dari pihak kami bagi menafikannya. Tidak perlu kami huraikan berkenaan status perkumpulan ini dari segi kebenarannya, silsilahnya, ijazah@bai’ahnya, khalifahnya atau juga amalannya, cukup sekadar kami menafikan hubung-kait nama kumpulan al-Linggi itu dengan Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyah di bawah pimpinan Sheikh Murtadza serta berdaftar di bawah undang-undang Enakmen Kawalan Tareqat Tasawuf Negeri Sembilan. Persoalan kenapa terwujudnya Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah al-Linggi ini tidak pula kami ketahui mana asalnya dan dari mana sumber nisbah namanya dan oleh itu kami berharap kami boleh berlepas diri dari Tareqat yang baru ini. Harap Maklum!

Para ikhwan yang saya hormati,

Agak sedih untuk kita terima perkara ini yang akhirnya berlaku di tempat kita, namun kebenaran itu tetap jua perlu ditegakkan. Sesungguhnya tidak akan terjadi apa-apa kerugian pada Sheikh atau Tareqat atau Agama itu sendiri andainya kelak isu ini akan menghacurkan Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah  yang kita sayangi ini tetapi, kita semua jualah yang akan menghadapi kerugiannya yang besar di masa hadapan.
Sesungguhnya penerimaan Tareqat pada diri kita adalah untuk kesejahteraan sendiri jugalah sebenarnya jikalau kita memahami fungsi khusus terwujudnya Tareqat ini. Kenikmatan yang Allah S.W.A kurniakan pada kita datang pada ketika orang lain tercari-cari pohon untuk bergayut di arus permasalah sosial yang memuncak kini dalam masyarakat. Kita mensia-siakan kurniaan ini lantaran terpengaruh khabar indah yang boleh dipertikaikan kebenarannya  dengan ilmu asal yang menurut syarat Syariat dan Tasawuf yang benar. Kekeliruan ini perlu dibongkar demi tanggungjawab kami yang telah diberikan amanah dan tidak pun kami mengharapkan balasan keduniaan.

Wassalam.

Perincian pada artikel ke-2 nanti InsyaAllah

Sunday, December 4, 2011

Simposium–Khulasah

Alhamdulillah, Syukur kerana Simposium Tareqat Tasawuf berjalan dengan lancar pada Siri yang kedua ini. Ribuan terima kasih dari kami buat ikhwan yang membantu dari mula lagi agar majlis ini berjalan dengan jayanya.

Kehadiran dari 2 pakar yang tidak asing lagi dalam bidang Tasawuf dan Tareqat ini bagi mencurahkan ilmu buat warga Negeri Sembilan, sesungguhnya hanya Allah sahaja membalas budi kalian. Keberkatan buat anda berdua Sheikh!

Kehadiran yang di alu-alukan kepada Dato’ Mufti Negeri Sembilan, Jemaah dari Majlis Fatwa Agama Negeri Sembilan, Rombongan dari Jabatan Mufti dan JHEAINS, juga di serikan dengan kehadiran Sheikh Dr. Uthman al-Muhammady dan Sheikh Mohd Fuad al-Maliki dari Yayasan Sofa, wakil dari Yayasan al-Jenderami,  sesungguhnya kami warga Madrasah as-Saidiyyah sungguh berbesar hati dengan kehadiran kalian. Semoga rahmat Allah ke atas anda semua.

2 kertas kerja yang dibentangkan oleh 2 pakar yang di jemput menyentuh berkenaan penyakit dan masalah-masalah yang kebiasaannya melanda ahli tariqat oleh Tuan Guru Dr Hj. Jahid bin Hj. Sidek al-Khalidi dan Peranan serta kesan berzikir oleh Dr Hj. Abdul Manam Mohammad al-Merbawi malam tadi benar-benar memberikan nafas baru dan ilmu yang sangat bermanfaat buat para hadirin. Cukup pendek sebenarnya masa yang di berikan pada setiap panel iaitu 1 setengah jam seorang dan insyaAllah, pihak kami akan cuba memperbaiknya pada masa-masa yang akan datang.

Kedatangan hadirin malam tadi tidak seramai seperti Simposium yang pertama dan post-mortem yang di buat sejurus selepas habisnya majlis ini berkemungkinan promosi yang agak lambat di jalankan oleh saya sebenarnya dan InsyaAllah akan di perbaiki pada masa akan datang. Dan respond dari Sheikh Murtadza pula bahawa beliau gembira dengan kelancaran majlis serta kehadiran ramai ilmuan yang bersama dalam majlis serta  komitmen dan istiqomah para ikhwan yang hadir bagi  memeriahkan majlis yang di adakan.



* 2 tajuk di berikan kepada kami oleh Dr. Uthman untuk beliau bentangkan masa Majlis Maulud Nabi akan datang..

Saturday, December 3, 2011

Tingkat zikir

Konsep yang diterangkan oleh Ibnu Ata'illah


Fail Simposium

Fail, kertas kerja, majalah dan DVD Simposium pertama.
Datang awal, elakkan kehabisan..

Selamat bersimposium.

Psst...  kertas kerja Dr. Jahid 40 muka surat semuanya.