Sesungguhnya artikel ini saya tulis bukanlah
untuk membela Sheikh Murtadza bin Sheikh Ahmad atau untuk menjatuhkan mana-mana
pertubuhan atau individu yang mempunyai hubung-kait dengan Tareqat Ahmadiah
Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyyah bahkan, sebagai pencerahan bagi para
ikhwan memahami akan seperkara yang akan diterangkan di dalam artikel ini.
Dengan memahami makna Tareqat serta peranannya sahaja sudah
mencukupi untuk menarik minat manusia mendekatinya. Seolahnya ada rahsia yang bakal
terbongkar andainya manusia itu terjun ke dalamnya. Namun sayang sekali manusia
itu gagal untuk mempelajari perkara asas dengan lebih mendalam maka membawa
kepada kecelaruan yang bakal membinasakannya. Pemahaman yang jarang ditekan dan
juga jarang di praktikkan seolahnya manusia itu sudah cukup sahaja dengan praktikal@amali
maka jadinya seringkali membawa kepada kelalaian. Saya merasakan ada satu
perkara yang perlu dijelaskan disini agar kita semua kembali untuk menguatkan
yang umbi agar seterusnya Tareqat yang kita dambakan ini sebati dan membantu di
akhirat kelak.
Sudah dimaklumi bahawa Sheikh@Khalifah bagi Tareqat Ahmadiah
Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyah di Malaysia dan Asia Tenggara ini
terpikul di bahu Dato’ Sheikh Haji Mohd Murtadza Sheikh Ahmad. Dan beliau yang
di yakini akan kemampuannya untuk mentadbir oleh Tuan Guru yang telah melantik
beliau sebenarnya mempunyai visi yang tersendiri. Satu visi yang cukup mudah untuk
di hadamkan serta difahami iaitu meneruskan apa yang dibawa, dilakukan bahkan
mengembangkanya iaitu ajaran Sheikh Hj. Ahmad Mohammad Said al-Linggi di rantau
Tanah Melayu ini. Dengan wujudnya kitab “Pengantar Tareqat Ahmadiah” yang baru
sahaja dikemaskinikan oleh JK Madrasah as-Saidiyyah menjadi bukti persamaan
pembawakan Sheikh Murtadza dengan ayahanda beliau. Dengan tidak menyalahi
sebarang Prinsip Asas Tareqat sekurangnya menambahkan keyakinan para ikhwan
kepada kepimpinan beliau.
Prinsip-Prinsip Asas Tareqat yang telah dibentangkan oleh Tuan Guru
Dr. Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi pada Simposium Pertama tahun ini jika
difahami oleh para ikhwan Tareqat Ahmadiah dengan baik pastinya kepimpinan
Sheikh Murtadza tidak akan menghadapi krisis yang sudah kita semua maklum.
Krisis yang membawa kepada perbalahan dan pecah-belah sesame ahli sepatutnya
tidak berlaku jika kefahaman ilmu Tareqat mendahului logik akal dan nafsu masing-masing.
Adalah menjadi satu malapetaka yang menyedihkan kita kerana situasi ini
akhirnya terpaksa kita hadapi. Maka saya mengambil tanggungjawab ini
berdasarkan rujukan pada yang berilmu dan sedikit pembacaan saya sendiri akan
persoalan ini agar ia dapat di rungkaikan.
Yang menjadi isu di sini ialah status Usrah ad-Dandarawiyyah di
dalam Tareqat Ahmadiah dan bagaimana kita sebagai ikhwan menghadapinya. Dengan
cubaan untuk menjernihkan keadaan maka keputusan yang telah berungkali saya
sebut dalam sessi perbualan dan juga dalam perdebatan ialah menolaknya HANYA di
Madrasah as-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah. Penolakan itu bukanlah bermakna
Tareqat Ahmadiah menolak pandangan, keilmuan apatah lagi menjatuhkan hukum sesat
kepada golongan yang menerima pakai Usrah ad-Dandarawi. Bagaimana secara mudahnya untuk difahami bagi kami untuk menerima
slogan perkumpulan luar di guna pakai di tempat kami sendiri sementelah pula
perkara itu tidak juga pernah dilakukan oleh Ayahanda Sheikh Murtadza sendiri selaku pengasas kepada Madrasah as-Saidiyyah
dan begitu juga ketua-ketua Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyah
selepasnya. Dan perkara ini nampaknya tidak juga difahami oleh pihak yang
menentang pandangan kami walhal ia juga adalah selari dengan Enakmen Tareqat
Tasawuf Negeri Sembilan ! Ditegaskan disini bahawa Usrah ad-Dandarawi bukanlah
Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah dan Tareqat Ahmadiah juga bukan sebaliknya.
Penggunaan ad-Dandarawi membawa 1 maksud pada 2 tujuan yang berlainan pada 2
organisasi yang juga berlainan. Punca yang terjadi sudah pun di jawab oleh Sheikh
Murtadza berulangkali di dalam kuliah beliau dan akan saya perincikan andai
punyai kesempatan. Juga sudah dijelaskan berulangkali punca terjadinya penolakan
itu yang mana tidak membawa pun kepada
maksud untuk menghukum sesat pada Usrah ad-Dandarawi.
Permasalah yang kedua pula adalah menjadi kemusykilan kami akan
kewujudan satu lagi nama dibawah payung Tareqat iaitu Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah al-Linggi!. Kami tidak mengambil endah
akan perkumpulan baru ini pada permulaannya namun tetapi, kami kini terpaksa
jua memandang serius akan perkara ini lantaran kekeliruan yang berlaku diantara
sesama ikhwan. Beberapa maklum balas yang diterima terdapat segelintir ikhwan
yang menyangkakan ia adalah nama lain pada satu pertubuhan yang sama di bawa
oleh Sheikh Murtadza. Merebaknya salah-faham ini yang pada kiraan saya bakal
mencetuskan fitnah besar yang terbaru, maka
kami tidak boleh berdiam diri sahaja menghadapinya. Maka tercetuslah penulisan
ini dari pihak kami bagi menafikannya. Tidak perlu kami huraikan berkenaan
status perkumpulan ini dari segi kebenarannya, silsilahnya, ijazah@bai’ahnya,
khalifahnya atau juga amalannya, cukup sekadar kami menafikan hubung-kait nama
kumpulan al-Linggi itu dengan Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyah
di bawah pimpinan Sheikh Murtadza serta berdaftar di bawah undang-undang
Enakmen Kawalan Tareqat Tasawuf Negeri Sembilan. Persoalan kenapa terwujudnya
Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah al-Linggi ini tidak pula kami ketahui mana asalnya
dan dari mana sumber nisbah namanya dan oleh itu kami berharap kami boleh
berlepas diri dari Tareqat yang baru ini. Harap Maklum!
Para ikhwan yang saya hormati,
Agak sedih untuk kita terima perkara ini yang akhirnya berlaku di
tempat kita, namun kebenaran itu tetap jua perlu ditegakkan. Sesungguhnya tidak
akan terjadi apa-apa kerugian pada Sheikh atau Tareqat atau Agama itu sendiri andainya
kelak isu ini akan menghacurkan Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah yang kita sayangi ini tetapi, kita semua
jualah yang akan menghadapi kerugiannya yang besar di masa hadapan.
Sesungguhnya penerimaan Tareqat pada diri kita adalah untuk
kesejahteraan sendiri jugalah sebenarnya jikalau kita memahami fungsi khusus
terwujudnya Tareqat ini. Kenikmatan yang Allah S.W.A kurniakan pada kita datang
pada ketika orang lain tercari-cari pohon untuk bergayut di arus permasalah sosial
yang memuncak kini dalam masyarakat. Kita mensia-siakan kurniaan ini lantaran
terpengaruh khabar indah yang boleh dipertikaikan kebenarannya dengan ilmu asal yang menurut syarat Syariat
dan Tasawuf yang benar. Kekeliruan ini perlu dibongkar demi tanggungjawab kami
yang telah diberikan amanah dan tidak pun kami mengharapkan balasan keduniaan.
Wassalam.
Perincian pada artikel ke-2 nanti InsyaAllah
5 comments:
ermmmm no komen.. jatuh nya satu satu pertubuhan ada lah kerana kebodohan pengikut nya,, gua simpati ,,,,
lajunya delete.. haha
owh.. kat sini dia tampal.. saudara mustaqim.. sila baca segala pencerahan dan artikel yg ada.. lapangkan dada.. jgn terlalu taksub.
Tarekat Dandarawiah ni sebenarnya takde. Majlis Tertinggi Sufi dan Syeikh Masyayikh Turuq Sufiyyah tahun 1949 dah batalkan Tarekat Dandarawiah Rasyidiah yang dibawa oleh Sidi Abu al Abbas al Dandarawi sebab menyeleweng. Ada pekeliling tahun 1949 dari Syeikh Masyayikh, Anggota2 Majlis Sufi Mesir membatalkan Dandarawiyyah.
Post a Comment