Popular Label

Berita (12) DrZul (17) Gambar (3) Kitab (3) Review (5) Tazkirah (36) Video (44)
Blog yang membicarakan aktiviti-aktiviti di Madrasah as-Saidiyyah, Surau Kampung Pondok Rasah, Seremban. Juga boleh mengetahui berkenaan Tariqat Ahmadiah di bawah pimpinan Dato' Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Hj Ahmad serta Pusat Pengamalan Tariqat Ahmadiah di http://alahmadiyyah-rasah.blogspot.com/

Monday, December 12, 2011

Sedikit penjelasan isu di Madrasah as-Saidiyyah


Sesungguhnya artikel ini saya tulis bukanlah untuk membela Sheikh Murtadza bin Sheikh Ahmad atau untuk menjatuhkan mana-mana pertubuhan atau individu yang mempunyai hubung-kait dengan Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyyah bahkan, sebagai pencerahan bagi para ikhwan memahami akan seperkara yang akan diterangkan di dalam artikel ini.

Dengan memahami makna Tareqat serta peranannya sahaja sudah mencukupi untuk menarik minat manusia mendekatinya. Seolahnya ada rahsia yang bakal terbongkar andainya manusia itu terjun ke dalamnya. Namun sayang sekali manusia itu gagal untuk mempelajari perkara asas dengan lebih mendalam maka membawa kepada kecelaruan yang bakal membinasakannya. Pemahaman yang jarang ditekan dan juga jarang di praktikkan seolahnya manusia itu sudah cukup sahaja dengan praktikal@amali maka jadinya seringkali membawa kepada kelalaian. Saya merasakan ada satu perkara yang perlu dijelaskan disini agar kita semua kembali untuk menguatkan yang umbi agar seterusnya Tareqat yang kita dambakan ini sebati dan membantu di akhirat kelak.

Sudah dimaklumi bahawa Sheikh@Khalifah bagi Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyah di Malaysia dan Asia Tenggara ini terpikul di bahu Dato’ Sheikh Haji Mohd Murtadza Sheikh Ahmad. Dan beliau yang di yakini akan kemampuannya untuk mentadbir oleh Tuan Guru yang telah melantik beliau sebenarnya mempunyai visi yang tersendiri. Satu visi yang cukup mudah untuk di hadamkan serta difahami iaitu meneruskan apa yang dibawa, dilakukan bahkan mengembangkanya iaitu ajaran Sheikh Hj. Ahmad Mohammad Said al-Linggi di rantau Tanah Melayu ini. Dengan wujudnya kitab “Pengantar Tareqat Ahmadiah” yang baru sahaja dikemaskinikan oleh JK Madrasah as-Saidiyyah menjadi bukti persamaan pembawakan Sheikh Murtadza dengan ayahanda beliau. Dengan tidak menyalahi sebarang Prinsip Asas Tareqat sekurangnya menambahkan keyakinan para ikhwan kepada kepimpinan beliau.
Prinsip-Prinsip Asas Tareqat yang telah dibentangkan oleh Tuan Guru Dr. Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi pada Simposium Pertama tahun ini jika difahami oleh para ikhwan Tareqat Ahmadiah dengan baik pastinya kepimpinan Sheikh Murtadza tidak akan menghadapi krisis yang sudah kita semua maklum. Krisis yang membawa kepada perbalahan dan pecah-belah sesame ahli sepatutnya tidak berlaku jika kefahaman ilmu Tareqat mendahului logik akal dan nafsu masing-masing. Adalah menjadi satu malapetaka yang menyedihkan kita kerana situasi ini akhirnya terpaksa kita hadapi. Maka saya mengambil tanggungjawab ini berdasarkan rujukan pada yang berilmu dan sedikit pembacaan saya sendiri akan persoalan ini agar ia dapat di rungkaikan.

Yang menjadi isu di sini ialah status Usrah ad-Dandarawiyyah di dalam Tareqat Ahmadiah dan bagaimana kita sebagai ikhwan menghadapinya. Dengan cubaan untuk menjernihkan keadaan maka keputusan yang telah berungkali saya sebut dalam sessi perbualan dan juga dalam perdebatan ialah menolaknya HANYA di Madrasah as-Saidiyyah, Surau Kg. Pondok Rasah. Penolakan itu bukanlah bermakna Tareqat Ahmadiah menolak pandangan, keilmuan apatah lagi menjatuhkan hukum sesat kepada golongan yang menerima pakai Usrah ad-Dandarawi. Bagaimana secara mudahnya untuk difahami bagi kami untuk menerima slogan perkumpulan luar di guna pakai di tempat kami sendiri sementelah pula perkara itu tidak juga pernah dilakukan oleh Ayahanda Sheikh Murtadza sendiri  selaku pengasas kepada Madrasah as-Saidiyyah dan begitu juga ketua-ketua Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyah selepasnya. Dan perkara ini nampaknya tidak juga difahami oleh pihak yang menentang pandangan kami walhal ia juga adalah selari dengan Enakmen Tareqat Tasawuf Negeri Sembilan ! Ditegaskan disini bahawa Usrah ad-Dandarawi bukanlah Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah dan Tareqat Ahmadiah juga bukan sebaliknya. Penggunaan ad-Dandarawi membawa 1 maksud pada 2 tujuan yang berlainan pada 2 organisasi yang juga berlainan. Punca yang terjadi sudah pun di jawab oleh Sheikh Murtadza berulangkali di dalam kuliah beliau dan akan saya perincikan andai punyai kesempatan. Juga sudah dijelaskan berulangkali punca terjadinya penolakan itu yang mana  tidak membawa pun kepada maksud untuk menghukum sesat pada Usrah ad-Dandarawi.

Permasalah yang kedua pula adalah menjadi kemusykilan kami akan kewujudan satu lagi nama dibawah payung Tareqat iaitu Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah al-Linggi!. Kami tidak mengambil endah akan perkumpulan baru ini pada permulaannya namun tetapi, kami kini terpaksa jua memandang serius akan perkara ini lantaran kekeliruan yang berlaku diantara sesama ikhwan. Beberapa maklum balas yang diterima terdapat segelintir ikhwan yang menyangkakan ia adalah nama lain pada satu pertubuhan yang sama di bawa oleh Sheikh Murtadza. Merebaknya salah-faham ini yang pada kiraan saya bakal mencetuskan fitnah besar yang terbaru,  maka kami tidak boleh berdiam diri sahaja menghadapinya. Maka tercetuslah penulisan ini dari pihak kami bagi menafikannya. Tidak perlu kami huraikan berkenaan status perkumpulan ini dari segi kebenarannya, silsilahnya, ijazah@bai’ahnya, khalifahnya atau juga amalannya, cukup sekadar kami menafikan hubung-kait nama kumpulan al-Linggi itu dengan Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah ar-Rasyidiah ad-Dandarawiyah di bawah pimpinan Sheikh Murtadza serta berdaftar di bawah undang-undang Enakmen Kawalan Tareqat Tasawuf Negeri Sembilan. Persoalan kenapa terwujudnya Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah al-Linggi ini tidak pula kami ketahui mana asalnya dan dari mana sumber nisbah namanya dan oleh itu kami berharap kami boleh berlepas diri dari Tareqat yang baru ini. Harap Maklum!

Para ikhwan yang saya hormati,

Agak sedih untuk kita terima perkara ini yang akhirnya berlaku di tempat kita, namun kebenaran itu tetap jua perlu ditegakkan. Sesungguhnya tidak akan terjadi apa-apa kerugian pada Sheikh atau Tareqat atau Agama itu sendiri andainya kelak isu ini akan menghacurkan Tareqat Ahmadiah Idrisiyyah  yang kita sayangi ini tetapi, kita semua jualah yang akan menghadapi kerugiannya yang besar di masa hadapan.
Sesungguhnya penerimaan Tareqat pada diri kita adalah untuk kesejahteraan sendiri jugalah sebenarnya jikalau kita memahami fungsi khusus terwujudnya Tareqat ini. Kenikmatan yang Allah S.W.A kurniakan pada kita datang pada ketika orang lain tercari-cari pohon untuk bergayut di arus permasalah sosial yang memuncak kini dalam masyarakat. Kita mensia-siakan kurniaan ini lantaran terpengaruh khabar indah yang boleh dipertikaikan kebenarannya  dengan ilmu asal yang menurut syarat Syariat dan Tasawuf yang benar. Kekeliruan ini perlu dibongkar demi tanggungjawab kami yang telah diberikan amanah dan tidak pun kami mengharapkan balasan keduniaan.

Wassalam.

Perincian pada artikel ke-2 nanti InsyaAllah

5 comments:

Pak Oncu said...

ermmmm no komen.. jatuh nya satu satu pertubuhan ada lah kerana kebodohan pengikut nya,, gua simpati ,,,,

muallij said...
This comment has been removed by the author.
Antusabun said...

lajunya delete.. haha

~::Iffat @ Wonderfatts::~ said...

owh.. kat sini dia tampal.. saudara mustaqim.. sila baca segala pencerahan dan artikel yg ada.. lapangkan dada.. jgn terlalu taksub.

Hasan Abd Wahab said...

Tarekat Dandarawiah ni sebenarnya takde. Majlis Tertinggi Sufi dan Syeikh Masyayikh Turuq Sufiyyah tahun 1949 dah batalkan Tarekat Dandarawiah Rasyidiah yang dibawa oleh Sidi Abu al Abbas al Dandarawi sebab menyeleweng. Ada pekeliling tahun 1949 dari Syeikh Masyayikh, Anggota2 Majlis Sufi Mesir membatalkan Dandarawiyyah.